Friday, July 21, 2017

BONDA MALAYSIA

Akan tercatat dalam lipatan sejarah dunia,
Tentang kehebatan seorang wanita Melayu,
Seorang Isteri Mithali tentunya dia,
Dikenali rakyat sebagai bonda Malaysia.

Kemana suami nya disitulah dia menemani,
Juga mengharapkan keperihatinan agar kita memahami,
Saban malam mendengar resah gelisah suami,
Memikirkan saling mendatang masalah tanpa henti,
Tidak bersimpatikah kita kepada dua insan ini?
Yang terus-terusan mengabdikan diri untuk sejahtera rakyat yang disayangi?
Apakah sumbangan kita telah cukup sudah?
Kerana setelah mereka tiada, tidakkah kita kesal kerana telah terlambat sudah?

Dia bukan yang mengikis duit rakyat dan harta negara,
Dia bukan Imelda yang mengumpul se istana sepatu dengan duit rakyat,
Dia bukan Marie Antoinette yang berbelanja tanpa henti,
menempah pakaian, mengumpul intan berlian ketika rakyat mati kelaparan
Kerana dihimpit cukai oleh sang suami yang menjerut leher,
Dia bukan juga Leila Ali yang memecah masuk Perbendaharaan
merompak simpanan jongkong emas negara.

Tetapi Bonda umpama Khadijah - membakar semangat Muhammad untuk menyebar syiar islam
Umpama Aishah - mendampingi Muhammad dengan mendalami ilmu perang dan perubatan,
Umpama Nusayba - pejuang wanita islam di perang Uhud, menjadi perisai dan pelindung tentera Islam.

Itulah bonda Malaysia, Bonda Tun Siti Hasmah.

Marilah kita panjatkan doa agar beliau diberi kesihatan yang baik dan kekuatan berpanjangan untuk terus gagah bersama kita dalam perjuangan ini.




Friday, June 30, 2017

KEDANGKALAN DEDAK LOKMAN ADAM MENJAWAB TENTANG ISU KEPINCANGAN KEPIMPINAN NAJIB

KEDANGKALAN DEDAK LOKMAN ADAM MENJAWAB TENTANG ISU KEPINCANGAN KEPIMPINAN NAJIB [BAHAGIAN 1]
*Oleh: Mas Darby*
1. Siapa yang songlap duit rakyat dalam kes 1MDB.
Lokman Adam: Firma Audit Bebas terkemuka dunia Deloitte, PAC, Ketua Audit Negara semua dah siasat dan Audit akaun 1MDB, takde sorangpun kata duit 1MDB hilang. Yang hilang duit IPIC, yg seleweng pengurusan lama Aabar sendiri. Duit rakyat mana yang kena songlap?
*JAWAPAN*: Dalam dokumen DOJ, Loretta Lynch, Peguam negara US mengatakan beberapa orang yang mengamalkan rasuah yang berkaitan dengan 1MDB, menganggap syarikat dana pelaburan kerajaan itu sebagai ‘akaun bank’ milik persendirian. US juga mendakwa wang 1MDB, digunakan bagi membeli condo mewah di Manhattan, lukisan mewah Monet, membeli jet peribadi dan membuat filem lucah di Los Angeles. Memang duit tu tak hilang tapi dijoli sewenang-wenangnya. Barua yang diberi kepercayaan oleh MO1, iaitu Jho Low, yang suka berparti dengan Lindsay Lohan and Paris Hilton – dan memanggil banker Goldman Sachs banker sebagai “bro”, didakwa oleh US sebagai ‘mastermind’ atau perancang rompakan, telah songlap sebanyak $2bilion atau hampir RM9 bilion dari 1MDB, ke akaun bank di Switzerland, Singapore and British Virgin Islands. Siapa di belakang Jho Low yang begitu berani songlap duit syarikat dana pelaburan negara dan pernah menuduh pemimpin UMNO sebagai ‘spinmaster’? Pembesar UMNO tak terasa ke dihina begitu?
Kerajaan jugalah yang terpaksa bayar balik duit kepada IPIC yang hilang kerana disalurkan kepada syarikat palsu "Aabar BVI" sebanyak $3.5 billion (RM15 bilion). Kemana sebenarnya duit 1MDB itu hilang? Akhirnya pembayaran tipu itu menjadi hutang 1MDB yang kemudian dibayar oleh kerajaan Malaysia atau lebih tepat rakyat Malaysia, yang terpaksa menanggung semua hutang 1MDB. Kerajaan juga bersetuju membayar AS$1.2 bilion (RM5.2 bilion) sebelum hujung tahun ini. Apa maknanya? Ini bermakna 1MDB mengaku bersalah dan secara tidak langsung mengaku membuat pembayaran tipu tersebut. Jadi ke mana perginya pembayaran kepada "Aabar BVI" itu? Bolehkah Lokman Adam buktikan yang duit itu tidak disonglap?
Kepada dedak-dedak dan penyokong UMNO sila hadapi kenyataan bahawa skandal 1MDB adalah skandal kewangan terbesar di dunia pada abad ini. Lebih besar dan memalukan dari skandal dunia lain seperti Enron, Baring Banks dan Lehman Brothers. Semua syarikat gergasi antarabangsa ini lingkup dan kalau 1MDB tidak ditanggung oleh kerajaan, pasti lingkup juga. Kalau semua CEO dan Lembaga pengarah syarikat antarabangsa yang terlibat dengan skandal itu dipenjarakan kerana keterlibatan mereka secara langsung dan tak langsung dengan skandal memalukan itu, bagaimana pula mereka yang terlibat dengan 1MDB?
Wikipedia juga menceritakan secara panjang lebar tentang skandal 1MDB. Sungguh memalukan bagi Malaysia!
2. Siapa yang kurangkan bajet pendidikan.
Lokman Adam: Bila Amerika menghasilkan Shale Oil, pengeluaran minyak mereka meningkat 2.5 kali ganda mengakibatkan harga minyak jatuh teruk. Hasil minyak Malaysia hilang 35.9b tahun 2016 berbanding hasil 2014. Semua bajet kena potong semasa pendapatan merosot. Dalam kehidupan berkeluarga pun kadang-kadang kena potong bajet bila hilang pendapatan. Bila pendapatan pulih semula, apa yang dipotong nescaya akan dikembalikan.
*JAWAPAN*:Apabila pendapatan merosot dan budget dipotong, kenapa bajet pendidikan pula yang jadi mangsa? Bila badget keluarga kena potong, adakah bapa akan suruh anaknya berhenti sekolah atau berhenti pergi tuition? Sungguh tak bertanggungjawab! Di zaman Tun Dr Mahathir sebagai PM, apabila berlaku kegawatan dan kemelesetan ekonomi, budget pendidikan dan latihan ditingkatkan bukan dipotong; kerana kebijaksanaan beliau merancang Negara ini bagi memastikan Malaysia membekalkan tenaga kerja terlatih tempatan yang cukup dan berkualiti. Jadi apabila ekonomi kembali pulih, tenaga kerja kita telah bersedia untuk memenuhi peluang-peluang pekerjaan yang diwujudkan dengan produktiviti dan kualiti kerja yang tinggi. Adakah Najib dan para penasihatnya terfikir dan merancang strategi untuk meningkatkan peluang pekerjaan untuk guna tenaga kerja tempatan terutama pelajar universiti yang ramai menganggur sekarang? Yang nyata kerajaan di bawah Najib hanya tahu membawa seberapa ramai buruh asing membanjiri Negara ini!.
Budget yang perlu dipotong adalah budget boros berbelanja dan melancong ke luar Negara oleh keluarga Perdana Menteri, termasukkan budget Jabatan Perdana Menteri yang menerima peruntukan sebanyak RM15.9 bilion pada tahun 2017, satu peruntukan tidak masuk akal kecuali menjadi lubuk dana gelap orang-orang tertentu. Tentu Lokman Adam pun bersetuju dengan saya, bahawa EPU tidak lagi berfungsi, dan PEMANDU pun hilang arah setelah sekian lama berbelanja mewah membayar perundingcara asing tapi hasil macam buluh kasap. Oleh itu, lebih baiklah peruntukan budget JPM ini dikurangkan dan bukan budget pendidikan.
3. Siapa yang menyebabkan ekonomi Malaysia merudum.
Lokman Adam: Kali terakhir Malaysia berhadapan kegawatan ekonomi ialah pada tahun 1997-1998. Masa Pengerusi PPBM jadi PM dan Ketua Umum PKR jadi Timbalan PM. Ekonomi Malaysia merudum ni definisi siapa? Mahathir ke? Zaman dia kita berhutang hingga lebih 100% berbanding KDNK pun kita tak bankrap. Apatah lagi zaman Najib yang ada disiplin ekonomi yang kuat. Kita letak syiling nak berhutang tak boleh lebih daripada 55% berbanding KDNK. Setidak-tidaknya Najib berjaya menurunkan kadar hutang kita dari 54.5% tahun 2015 kepada 52.7% tahun lepas. Takkan ekonomi merudum tahun lepas pertumbuhan ekonomi masih 4.2%. Suku terakhir naik 4.5% dan suku pertama tahun ni naik 5.6%, iaitu tertinggi dalam tempoh 2 tahun. Yang cakap ekonomi Malaysia merudum ni Prof ekonomi dari kilang Ketum ke?
*JAWAPAN*: Najib tidak mempunyai disiplin ekonomi malah tiada ilmu ekonomi, tetapi terkenal sebagai PM yang paling boros berbelanja. Orang kampong pun tahu, apa yang Najib buat selama 8 tahun jadi PM? Selain dari 1MDB, ‘trademark’ Najib ialah GST dan cubaan-cubaan meroboh dan menghancurkan warisan serta legasi pemerintahan Tun Dr Mahathir.
Perangkaan Bank Negara Malaysia pada akhir Jun lalu, menunjukkan hutang kerajaan sebanyak RM655.74 bilion. Data hutang kerajaan adalah seperti berikut: Akhir zaman Tun Dr Mahathir Mohamad sebanyak RM189 bilion, Tun Abdullah Ahmad Badawi RM306 bilion dan Mohd Najib sekarang RM655.74 bilion tidak termasuk hutang RM50 bilion daripada China. Data BNM tak boleh nak tipu.
Pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.6 % mengikut lapuran Bank Negara adalah kerana peningkatan perbelanjaan domestik oleh sektor swasta tempatan, bukan pelaburan asing. Ini bermakna, sektor swasta telah mengurangkan perbelanjaan mengimport yang disebabkan oleh kejatuhan matawang Malaysia yang merudum dan menjadikan barangan import terutama sektor pertanian menjadi mahal. Harga konsumer meningkat 3.2 peratus pada bulan January 2017, berbanding 1.8 peratus pada bulan December 2016. Pertukaran wang Malaysia pernah mencecah RM4.50 bagi setiap dolar Amerika. Kerajaan terpaksa membelanjakan beratus-ratus bilion ringgit semata-mata mahu mempertahankan nilai ringgit dari terus merudum. Harus kita ingat antara indikator kejatuhan ekonomi negara ialah meningkatnya pengangguran dan harga makanan. Jadi data-data pertumbuhan ekonomi yang ditunjukkan Lokman Adam tidak ada makna bagi rakyat jelata yang hidup mereka amat terkesan sekarang. Mungkin Lokman Adam minum air ketum dan tentunya sedar tentang harga ketum pun naik berbanding 3 tahun dulu!
4. Siapa dalang di sebalik hilangnya duit tabung haji, tabung angkatan tentera, tabung pesara, duit KWSP dan lain2.
Lokman Adam: bila masa pulak duit tabung Haji, tabung angkatan tentera, tabung pesara dan duit KWSP hilang? Cuba bawa keluar report polisnya kalau ada. Tak habis-habis tabur fitnah, tak baca surat khabar ke? Walau teruk macamana kedudukan ekonomi global, agensi-agensi tersebut tidak pernah gagal memberi dividen dan bonus yang memuaskan untuk pencarum dan pemegang saham mereka.
*JAWAPAN*: Memang tiada report polis kerana badan-badan kerajaan ini adalah antara GLC dan GLIC yang dikawal kerajaan. Indikator kerugian ataupun kehilangan wang dari GLC dan GLIC ini adalah dari pemberian dividen dan bonus yang amat berkurangan sejak Najib menjadi PM, penghapusan biasiswa dan pengurangan pinjaman yang dikeluarkan. Malah KWSP mencipta akaun baru iaitu Akaun Emas bertujuan mengekalkan caruman penyimpan sehingga berumur 60 tahun. Yang paling nyata dan umum tahu, dana GLC dan GLIC ini digunakan untuk membayar hutang-hutang 1MDB. Kerajaan BN harus sedar wang dana tersebut milik orang kampung dan hak rakyat sebagai pencarum yang bersusah payah bekerja sepanjang hidup mereka, tetapi telah dipinjamkan kepada 1MDB untuk membayar hutang akibat keborosan dan penyelewengan. Zalim bukan?
5. Siapa yang hapuskan subsidi.
Lokman Adam: Ya Kerajaan BN yang hapus. Tapi subsidi yang macamana kita hapuskan? Kita hapus subsidi pukal yang menguntungkan golongan berada. Contohnya subsidi gula, rakyat biasa dulu dapat subsidi 34 sen je sekilo, paling kuat satu keluarga pakai 2-4 kg sebulan. Tapi yang guna beribu kilogram gula setiap hari ialah kilang-kilang termasuklah kilang arak yang menggunakan banyak gula. Sama juga dengan subsidi petrol, kajian Kementerian Kewangan mendapati 70% subsidi bahan bakar petrol dan diesel dinikmati oleh mereka yang berada. Sebab lagi besar kereta mereka, lagi kuat makan minyak, lagi banyaklah subsidi yang mereka dapat dari kerajaan. Adil ke macam tu? Itu sebabnya kerajaan tarik subsidi pukal seperti ini dan pulangkan ianya kembali kepada mereka yang betul-betul memerlukan melalui subsidi yang lebih mensasar seperti BR1M, Bantuan Persekolahan 1 Malaysia, Kad Siswa 1Malaysia, Subsidi Mendaratkan Ikan Kepada Nelayan, Subsidi Musim Tengkujuh kepada Penoreh yang tidak dapat keluar menoreh sekitar bulan November, Disember dan Januari dan pelbagai subsidi lain.
*JAWAPAN*: Sejak kerajaan hapuskan subsidi, tak kiralah untuk pengguna pukal atau kilang arak, harga gula naik mencanak, termasuk juga semua harga makanan dan petrol. Sekilogram gula kini berharga RM2.95, iaitu peningkatan 4 peratus sejak pelarasan harga terakhir pada tahun 2013. Harga petrol melonjak naik saban tahun, menjadikan kenaikan harga minyak sebanyak 45 peratus pada tahun 2016, satu lonjakan terbesar sejak tahun 2007. Rakyat Malaysia perlu bersedia untuk menghadapi kenaikan harga RON95 lebih tinggi kerana pasaran tempatan mengunjurkan purata harga minyak itu antara RM2.10 dan RM2.20. Jadi tak payah cerita pakai kereta besar atau kecil, semuanya membayar harga yang mahal sekarang.
Penghapusan subsidi lebih kepada kegagalan kerajaan BN untuk mengurus kewangan dengan baik. Penghapusan subsidi adalah kerana kerajaan BN tidak lagi mampu untuk menanggung subsidi tersebut dan Tan Sri Irwan Serigar Abdullah sendiri mendedahkan penghapusan subsidi adalah untuk mengukuhkan kedudukan fiskal kerajaan.
6. Siapa yang jual hak milik kekal di forest city.
Lokman Adam: Rata-rata orang Johor tahu bahawa tanah Johor banyak tergadai kepada rakyat asing masa Presiden PPBM menjadi MB Johor. Daripada terus membiarkan tanah-tanah di Johor jatuh ketangan asing, strategi Kerajaan Johor mewujudkan pulau buatan manusia ditengah laut untuk dibina Forest City merupakan pendekatan diluar kotak. Rumah yang dijual berbentuk kondo mewah yang hanya memiliki status hak milik strata dan harganya sangat mahal. Setiap rumah yang dijual sebahagian besar menjadi hasil kerajaan negeri. Dana ini kemudiannya disalurkan untuk membeli tanah dan membina rumah mampu milik untuk rakyat Johor. Saya sebagai anak Johor berbangga kerana dibawah pemerintahan MB sekarang, tanah Rezab Melayu di Johor semakin bertambah saban tahun dan bukan merosot macam masa boyfriend Nika Gee berkuasa.
*JAWAPAN*: Rata-rata orang Johor tahu dan Tun Dr Mahathir telah mendedahkan bahawa rumah di Forest City adalah bertaraf hak milik kekal bukan strata seperti yang digemburkan oleh dedak UMNO. Bagi dedak UMNO yang tak faham hak milik kekal, ia bermakna orang China yang beli rumah dan tinggal di Forest City akan beranak pinak di situ selagi ada bulan dan matahari. Forest City bakal menjadi Shenzhen kedua dan penempatan baru yang 3 kali lebih besar dari Singapura bagi rakyat China yang mahu tinggal di luar Negara. Ia bakal diduduki oleh hampir 1 juta warga China komunis dalam Wilayah Malaysia, dan generasi ke 2 atau 3 akan menjadi warganegara Malaysia. Walaupun pendapatan jualan rumah jatuh kepada hasil Kerajaan Johor, persoalan utama ialah, siapa sebenarnya yang akan tinggal di situ?
7. Siapa yang robohkan dan jual tanah kem tentera Sungai Besi dan beberapa kem tentera yang lain.
Lokman Adam: Pengkalan Tentera Sungai Besi dah lama sudah tidak strategik sebagai pengkalan tentera. Mungkin mamat yang pertikai penjualan Kem Sg Besi ni bengang kerana syarikat kroni Tun Mahathir, YTL tidak memenangi bidaan tanah yang dikenali sebagai Bandar Malaysia itu. Kalau YTL yang dapat, tentu depa senyap. Untuk makluman kamu, sejak zaman komunis lagi pesawat kita di pengkalan udara Sg Besi tu pernah di bom guna pelancar roket dari tepi jalan Sg Besi. Strategik apa namanya kalau pengkalan tentera kita terdedah dengan serangan musuh semudah itu? Keduanya, sedarkah kamu bahawa pesawat tentera udara ni makin lama makin besar dan makin canggih. Maka sudah semestinya ianya memerlukan landasan yang lebih panjang dan lebar. Mungkin pemfitnah ni tak sedar bahawa Pengkalan Udara Sg Besi ni hanya diguna oleh pesawat chesna dan peminat glider sahaja, pesawat buruk macam Charlie pun tak guna Pengkalan ini. Macam mana kita nak gunakan untuk mendaratkan pesawat baru yang jauh lebih besar? Ini belum cerita masalah lain termasuk menara kawalan dan risiko kemalangan bila pesawat membatalkan penerbang dihujung landasan.
Perlu difahami bahawa 1MDB memenangi bidaan untuk membeli tanah ini dari Kerajaan kerana 1MDB setuju dengan pelbagai syarat ketat yang diletak oleh kerajaan. Antaranya, 1MDB perlu membina 6 kem tentera baru dan 2 kem polis baru sebelum mula membangunkan Bandar Malaysia. Keduanya, kesemua kos pemindahan ke kem baru akan ditanggung oleh 1MDB. Ketiga, di Bandar Malaysia ini juga akan dibina 5000 unit rumah mampu milik. YTL sanggup ke?
*JAWAPAN*: Tentulah YTL sanggup kalau diberi peluang. Bukankah YTL sebuah syarikat swasta yang memang mencari untung?. Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah mendedahkan kerajaan menanggung kerugian RM25 bilion kerana menjual tanah Kem Sungai Besi kepada 1MDB di bawah harga pasaran. Isu utama ialah tanah kem tentera Sungai Besi terletak di kawasan strategik dari segi keselamatan dan ketenteraan di tengah bandaraya Kuala Lumpur. Kalau Sg Besi pernah dibom di zaman Jepun, adakah bila dipindahkan ke Negeri Sembilan ia tidak dibom? Kamu bercerita zaman Jepun, ini zaman teknologi digital. Untuk pengetahuan kamu juga Lokman, pesawat-pesawat juang yang canggih dan moden kini tidak lagi memerlukan landasan terbang yang panjang. Boleh terus berpusing naik ke atas. Kalau tanah tak cukup luas, peralatan tentera yang perlu dipertingkatkan, bukan dijual pengkalan tentera.
Di mana 6 buah kem tentera dan 2 kem polis baru yang sepatutnya telah siap dibina sebelum Bandar Malaysia dibangunkan?
Yang nyata Kerajaan Najib menjual tanah Kem Sungai Besi dan akan dibangunkan menjadi Bandar Malaysia yang bakal menjadi sebuah Bandar bawah tanah terbesar di dunia. Boleh ke Bandar tersebut menempatkan 5000 buah rumah mampu milik di bawah tanah itu?. Mungkin kubur China mampu milik agaknya!
#mas June 2017