Sekiranya anda seorang rakyat yang
prihatin dan sayangkan pemimpin anda, anda akan dapat membezakan watak setiap Perdana
Menteri kita dari Tun Dr Mahathir
Mohamed, Tun Abdullah Badawi dan Dato Sri Najib Abdul Razak. Tidak perlu kempen
PR, tak perlu puluhan strategis media, penasihat dan pengaruh blogger upahan,
kita sendiri boleh menilai jenis pemimpin yang kita ada hari ini.
Perhatikan gerak tubuh Tun Mahathir.
Sekiranya anda berpeluang bersalaman dengan Tun Mahathir, anda akan rasai
tentangan mata Tun cuba untuk mengenali anda. Semasa menjadi Perdana Menteri selama
22 tahun hinggalah sekarang selepas 13 tahun bersara, profail diri Tun Mahathir
tidak pernah berubah. Dalam akhbar dan TV, Tun kelihatan begitu mesra,
menyayangi rakyat dan orang sekeliling beliau. Beliau menatap muka setiap orang
yang bersalaman sambil tersenyum tanda menghormati orang tersebut. Bezakan Tun
Mahathir dengan beberapa pemimpin sekarang yang kelihatan tidak mengindahkan
orang yang disalami sebaliknya memerhati tempat lain dan ada yang
tersengeh-sengeh. Saya maksudkan ketika bersalaman dengan rakyat jelata bukan
bersalaman dengan menteri atau pemimpin lain.
Berbanding etika bekerja dalam bilik
mesyuarat, Tun Mahathir sangat digeruni. Setiap rakan kabinet beliau perlu
bersedia dengan lapuran kementerian masing-masing setiap mesyuarat. Setiap tindakan perlu diperincikan.
Itu lah sifat seorang pemimpin yang hebat:
bertanggungjawab, berpandangan jauh dan sayangkan rakyatnya. Rakyat yang
mengenali Tun Mahathir akan jatuh sayang, kasih dan hormat pada kehebatan dan
aura pemimpin ini, tidak kira apa bangsa, keturunan dan negara sekalipun. Saya
banyak melihat tangisan airmata rakyat negara asing yang begitu hormat dan kasihkan
Tun Mahathir. Oleh kerana profail diri yang tidak pernah berubah, jadi, jangan
lah kita risau yang Tun telah nyanyok atau lupa. Dia tetap Tun Dr Mahathir yang
kita kenal, yang sentiasa mendahulukan kepentingan bumiputera, ketuanan Melayu
dan kesejahteraan rakyat berbilang kaum dalam negara ini.
Ketika berucap Tun Mahathir lazimnya
tidak memerlukan teks, kecuali ketika membentangkan laporan penting negara,
Rancangan 5 tahun Malaysia, budget tahunan dan membentang kertaskerja
persidangan.Tetapi ketika menanda tangani Deklarasi Rakyat yang lepas, Tun
Mahathir telah merujuk kepada teks dan hanya membacakan teks yang telah
disediakan tanpa mengulas lanjut. Jawapan-jawapan yang diberi kepada pertanyaan
pemberita sangat spesifik dan pendek. Ini menunjukkan bahawa Tun Mahathir
sangat fokus kepada satu objektif Deklarasi Rakyat tersebut iaitu untuk
menyingkir DS Najib demi menyelamatkan Malaysia, tanpa mahu menimbulkan isu-isu
remeh yang lain.
Oleh yang demikian, janganlah kita
khuatir bahawa Tun Mahathir telah berubah dan menyokong DAP atau pengamal LGBT apabila duduk semeja dengan pemimpin pembangkang. TIDAK SAMA SEKALI. Nabi
Muhammad S.A.W juga duduk bersama penentang dan pembangkang baginda di bawah
Piagam Madinah. Bersyukurlah kita kerana Tun Mahathir mengikut sunnah Nabi. Yang
penting ialah pemimpin Islam kita masih lagi dan akan terus memimpin negara
ini. Itulah yang mahu Tun Mahathir lakukan sebagai jalan terakhir untuk
menyelamatkan kedaulatan negara agar rakyatnya tidak hidup dalam keperitan. Tentunya
kita masih mahu terus dihormati oleh negara jiran yang lain.
Profail diri, prinsip dan kepercayaan
Tun Mahathir tetap teguh dulu, kini dan selamanya. Percayalah kepada kematangan
Tun Mahathir berpolitik. Percayalah pada integriti dan jatidiri Tun Mahathir
yang kita kenal dan sayang. Ketika di penghujung
umurnya ini, seorang pemimpin agung Islam yang amat dihormati oleh dunia Arab,
negara Selatan-Selatan dan Negara Dunia ke3 dan digeruni oleh negara
barat, Tun Mahathir tidak akan sekali-kali mengecewakan kita, umat islam dan
bumiputera di negara ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Tun
Mahathir tentunya mahu meninggalkan dunia ini dengan tenang dan aman ketika
mengadap Penciptanya.
Malulah kita yang masih muda dan
bertenaga kalau kita telah berpaling dan kecewa melihat keadaan negara kita ini
dan menghina cerca Tun Mahathir pemimpin yang berpuluh tahun berbakti untuk negara. Bangkitlah bangsa ku, bukalah
mata, lihatlah sekelilingmu. Apakah kita gembira dengan keadaan kita sekarang
berbanding dahulu?
Marilah kita yakinkan diri dan
mengajak saudara-mara dan handai taulan kita di kampung supaya yakin kepada
usaha-usaha yang dilakukan oleh negarawan ulung kita, Tun Mahathir. Marilah
kita bersama-sama berdoa ke hadrat Allah Taala supaya usaha-usaha Tun Mahathir diberkati
Allah demi kesejahteraan agama, bangsa dan negara kita. Amin Ya Rabbul Alamin.