Menteri Sumber Manusia pernah melaporkan tahun lepas bahawa kebanjiran pekerja
asing di Malaysia kini berada pada tahap yang sangat serius apabila dianggarkan
seramai 6.7 juta golongan terbabit mencari rezeki di negara ini dalam pelbagai
sektor. Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata, daripada jumlah tersebut,
didapati hanya seramai 2.1 juta pekerja asing mempunyai permit dan selebihnya
memasuki negara ini secara haram. Sekiranya ditambah dengan 1.5 pekerja
Bangladesh, Malaysia akan mempunyai 8.2 juta pekerja asing dalam Negara ini, iaitu
hampir 30% dari keseluruhan jumlah penduduk Malaysia!!
Sebagai Menteri Dalam Negeri kenapa tidak dilaksanakan program intensif
untuk menghantar pulang pendatang-pendatang asing ini dahulu sebelum membawa
pekerja asing baru? Apakah rasional program pemutihan untuk menghalalkan
pendatang asing dan pada waktu yang sama membawa masuk pekerja Bangladesh? Adakah
kita yakin bahawa pekerja Bangladesh yang baru masuk tersebut akan dihantar
pulang setelah tamat kontrak sebagaimana yang dijanjikan oleh KDN bahawa
kemasukan mereka adalah secara berperingkat-peringkat? Atau kemudian KDN akan
membuat proses pemutihan dan memberi mereka permit untuk terus tinggal dalam negara
ini dan menambahkan jumlah kehadiran berjuta-juta lagi rakyat Bangladesh di
Negara ini?
Rakyat sudah BOSAN dengan alasan dan kelemahan KDN menangani masalah
pendatang asing. Kini ditambah pula dengan perancangan membawa masuk 1.5
pekerja Bangladesh.
Apakah kerajaan tidak peka dengan masalah pengangguran anak tempatan
yang semakin meningkat ditambah dengan hampir 400,000 graduan sedang menganggur?.
Alasan kemasukan 1.5 pekerja Bangladesh adalah untuk memenuhi keperluan sektor
3D (kotor, berbahaya dan sukar) tidak dapat diterima kerana KDN sendiri
mengesahkan dalam Parlimen bahawa mereka akan memenuhi tenagakerja dalam 5
sektor utama ekonomi negara.
Kalau berdasarkan sektor 3D, ini bermakna sektor Perkhidmatan bukan
termasuk dalam kategori 3D dan tidak harus dipenuhi oleh pekerja asing. Malangnya
sektor Perkhidmatan juga akan menerima kemasukan pekerja Bangladesh ini. Mengikut
sumber KDN sendiri, pada tahun 2014 sahaja seramai 270,048 pekerja asing dibawa
masuk untuk sektor Perkhidmatan, iaitu kenaikan sebanyak 5% dari tahun 2012.
Dengan peningkatan pekerja asing yang berterusan dalam sektor Perkhidmatan, adakah
ini bermakna pekerja Bangladesh ini akan juga memenuhi kebanyakan restoran
makanan dalam Negara ini? Adakah Dato Seri Zahid Hamidi tidak dapat berbuat
apa-apa untuk mengawal tentang kemungkinan bertambahnya penyakit yang dibawa
oleh pekerja asing Bangladesh ini? Kementerian Kesihatan mengesahkan dalam
Laporan tahun lepas bahawa penyakit Tibi dan Kusta yang tidak pernah wujud di
Malaysia sejak 5 dekad lalu adalah dibawa oleh pendatang asing dari Bangladesh.
GKCM ingin menyeru Dato Seri Zahid Hamidi supaya membaca kembali Wawasan
2020 yang menyebut tentang pelan tindakan yang memberi fokus kepada peningkatan
kekayaan dan perkhidmatan untuk rakyat sepanjang tahun 2015–2020. Laporan Bank
Negara pada November 2015 menyebut
bahawa prospek ekonomi
Malaysia mempunyai risiko pertumbuhan
yang lebih perlahan sekitar 4 hingga 5 peratus pada tahun 2016. Oleh yang demikian, KDN harus mengambil kira
tentang keadaan ekonomi Negara dan seiring dengan matlamat Wawasan 2020, KDN
perlu membuka peluang kepada rakyat tempatan supaya turut sama terlibat dalam
memperbaiki kualiti perkhidmatan dalam negara ini.
Perbezaan utama di antara negara maju dengan negara membangun adalah
tahap perkhidmatan yang disediakan untuk rakyat. Membawa pekerja Bangladesh
bukan jalan terbaik untuk memperbaiki tahap perkhidmatan dalam negara,
sebaliknya memberi latihan intensif kepada rakyat tempatan dan menyediakan
peluang pekerjaan terutama kepada siswazah menganggur akan dapat meningkatkan
mutu perkhidmatan sejajar dengan budaya tempatan, seiring dengan taraf negara
maju dan demi menjamin mutu perkhidmatan yang mampan.
Dato Seri Zahid Hamidi sebagai Menteri Dalam Negeri menyatakan jangan
salahkan dia, jangan salahkan kerajaan, KDN dan Kementerian Sumber Manusia.
Kalau tidak mahu bertanggungjawab dalam hal ehwal yang melibatkan kepentingan hidup
dan peluang pekerjaan untuk rakyat, eloklah Dato Seri Zahid Hamidi dan
menteri-menteri berkenaan meletak jawatan kalau tidak mahu tanggungjawab dalam
menjamin kesejahteraan hidup rakyat.
KDN perlu berbincang kembali dengan Federation Malaysian Manufacturers,
FMM dan Malaysian Employers Federation, MEF untuk mencari jalan terbaik bagi
mengurus pekerja asing yang sedia ada serta menghantar kembali pendatang asing
balik ke negara mereka.
GKCM menyeru sekali lagi, supaya KDN tidak meneruskan rancangan membawa
kemasukan 1.5 pekerja Bangladesh ke negara ini.
+ Written For GKCM
+ Written For GKCM