Cuba memahami apakah faktor2 yang membawa polemik antara NGO dgn kerajaan tentang TPPA menyebabkan saya menganalisa hujah-hujah dan fakta di samping menghadiri Sidang Kemuncak TPPA yang dianjurkan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Melayu, Kongres Rakyat dan gabungan 200 NGO Malaysia baru2 ini dan semalam mendengar Taklimat Manfaat TPPA oleh Menteri, MITI dan MATRADE. Saya bukan anti-establishment, masih seorang penyokong tegar UMNO dan kerajaan; pandangan saya yang berdasarkan pembacaan, analisa di luar kotak dan pengalaman hidup di luar negara adalah lebih menjurus menyebelahi kepentingan rakyat majoriti. Justeru polemik yang berterusan ini, saya berpandangan kerajaan perlu duduk dan memberi peluang kepada NGO dan pakar-pakar yang sedang mengkaji 6000 muka surat TPPA untuk mengemukakan hujah mereka dan mencapai kata sepakat demi kepentingan rakyat dan negara, langsung menghilangkan keraguan mengapa kerajaan merahsiakan kandungan TPPA sebelum ini; seperti yang didakwa oleh pakar-pakar yang mengkaji.
Tidak dinafikan
kerajaan berjaya meletakkan Malaysia antara 20 negara dagang terbesar di
dunia dan terdapat syarikat-syarikat kita yang berjaya di persada
antarabangsa. Namun, mereka bukan SME, tetapi adalah syarikat besar dan
GLC yang mempunyai ‘resilient’ dan ‘capability’ seperti yang disebut
oleh Menteri. Saya persoalkan, bagaimana pula dengan ‘capacity’ dan
‘sustainability’ bagi syarikat besar dan GLC ini untuk terus bersaing di
peringkat global untuk beberapa dekad yang akan datang? Banyak syarikat
kita kecundang untuk terus bertahan di peringkat global apabila
persaingan semakin sengit. Tak perlu saya sebutkan contoh-contoh.
Pengalaman saya, tidak ada satu pun syarikat Bumiputera Class A yang
mampu mengambil projek atau berani bersaing dalam pembidaan projek
pembinaan di Abu Dhabi.
TPPA bukan sekadar globalisasi. Apabila ia
dilaksanakan, contohnya, mampukah syarikat Bumiputera Class A bersaing
tanpa bantuan kerajaan dengan pemain antarabangsa untuk membida projek
bernilai lebih RM350mil dalam negara?. Dengan rakan senegara kaum Cina pun tak mampu
bersaing, inikan pula dengan syarikat Mat Salleh.
Lebih 30 tahun
kita cuba menguasai pasaran ICT dunia dengan menjadi pelopor pembangunan
ICT terancang dan bersepadu di peringkat global selepas Silicon Valley
USA, melalui penjenamaan Multimedia Super Corridor (MSC). Tetapi adakah
kita berjaya menjadi pengeksport utama aplikasi ICT ciptaan tempatan dan
MSC menjadi ‘most intelligent city in the world’ sebagaimana objektif
yang ingin dicapai? Selepas 30 tahun di mana kita? Sedangkan mereka yang
wujud selepas kita seperti Dubai Internet City, MASDAR Abu Dhabi,
Singapore One, Taiwan HsinChu Science Park dan India’s Bangalore
Information Technology Park begitu gah membina projek mega smart city
dan mengeksport produk, aplikasi, pakar dan perkhidmatan ke serata dunia
serta menarik pelaburan tetap jangka panjang berbillion-billion US
dollar ke dalam negara mereka. Yang nyata politik kampung dalam negara
kita membawa kita ke belakang selepas pertukaran kepimpinan kerajaan,
cuba membunuh ‘legacy’ Tun Mahathir dan menukar/memusnahkan setiap yang
berkaitan dengan Tun Mahathir, menjadikan pembangunan dan eksport ICT negara
terencat dan kita hanya menjadi jaguh kampung. MSC Malaysia akhirnya
menjadi projek hartanah seperti projek hartanah lain yang tidak ada
bezanya di mana2 ceruk di Malaysia.
Itulah yang kita pandai. Jual
tanah. Pergilah di mana pun sama ada Iskandar Malaysia, NCER, ECER,
Sabah dan Sarawak Corridors, modus operandi nya sama – jual tanah,
tebang hutan sampai botak dan bina hutan batu. Pembangunan oleh
syarikat-syarikat besar dan asing yang rancak diserata ceruk tentunya
menggerunkan rakyat yang bertanya berapa banyak dah Tanah Melayu ini
terjual? Setiap tahun menangislah dan menyanyi lah lagu “Airmata darah
bercampur keringat, bumi dipijak milik orang”, tetapi adakah sebarang
usaha untuk menyedarkan pihak berwajib untuk menangani masalah ini?
Lebih 10 tahun juga kita cuba menjuarai Halal Hub untuk menguasai
sebahagian dari USD2.3 trilion setahun dagangan halal dunia tapi adakah
pencapaian kita boleh dibanggakan? Selepas 13 buah Halal Hub dibangunkan
di seluruh negara dengan tarikan nilai pelaburan RM8.07 bilion (USD1.82
bilion) sejak 10 tahun lepas, bermakna kejayaan kita hanyalah RM807
million setahun (USD182 milion) dengan penguasaan pelaburan dagangan
halal kita tidak sampai 0.1% seperti sebutir beras dalam timbunan guni
beras, sedangkan 65% pasaran dan permintaan halal itu datang dari
negara-negara Asia, jiran-jiran kita sendiri. Selepas 10 tahun wujudnya
HDC kita masih mengimport lembu dari Australia dan India, sementara
JAKIM masih gagal mengawal pensijilan halal bertaraf global; bagaimana
mungkin kita menjadi halal hub unggul dunia 4 tahun lagi?
Apakah politik
kampung juga akan menyebabkan rakyat banyak di kampung akan menderita
kepayahan untuk hidup di negara bertuah ini selepas TPPA dilaksanakan?
Kalau di Asia pun masih terkial-kial nak menjual makanan halal,
bagaimana nak bertanding dipasaran terbuka global di bawah TPPA? Menteri
mengatakan di bawah TPPA akan terdapat pertambahan US$100 billion
menjelang 2027 iaitu 11 tahun dari sekarang. Ini bermakna kalau dikira
implementasi TPPA dari tahun ini sehingga 2027, pertambahan itu hanyalah
USD9 billion setahun, sedangkan eksport kita ke Thailand tahun lepas
lebih banyak iaitu USD12 billion dan ke Indonesia pun USD USD12 billion
setahun.
Saya mengandaikan kalau kita tingkatkan sedikit usaha
mengeksport makanan halal ke dua-dua negara ini, kita boleh melangkaui
pencapaian USD9 billion setahun itu. Dengan pelbagai kemungkinan yang
boleh berlaku serta kemungkinan lebih banyak tanah yang tergadai dalam
jangka masa panjang, apakah yang kita nak banggakan dengan pertambahan USD9 billion
setahun selepas perlaksanaan TPPA?.
Pedagang Malaysia mahu melebar sayap dagangan ke US, Canada dan Mexico
dengan adanya TPPA? Ahli-ahli Parlimen dan pensyarah tempatan diminta
tolong belajar sejarah dan buat kajian sikit. Tahukah anda NAFTA yang
ditandatangani pada tahun 1993 melibatkan ketiga-tiga negara ini telah
menjadikan mereka satu gergasi ekonomi dalam pasaran bersepadu untuk 400
juta penduduk mereka? Antara mereka tidak ada sekatan. 3 negara NAFTA
ini saling tolong menolong tanpa sempadan ekonomi. Dengan adanya TPPA
pula, kerjasama ekonomi 3 negara ini melangkau batas SEMUA jenis bidang,
seperti pelaburan dan perkhidmatan, pengaliran data dan e-commerce, dan
semua jenis pergerakan pekerja dan berbagai-bagai lagi, menjangkau apa
yang termeterai dalam NAFTA yang sedia ada. Bermakna pasaran ekonomi
mereka semakin luas dan mewah, keupayaan mereka menguasai ekonomi dan
pelaburan bertambah merentasi sempadan negara-negara TPPA.
Sejak bila dalam
sejarah dunia, manusia berlumba-lumba berdagang dengan 3 negara ini yang
kononnya dikatakan ‘world biggest economy’ seperti yang didakwa oleh
ahli Parlimen kita? Cuba bagi bukti bahawa 3 negara ini adalah ekonomi terbesar
dunia. Beratus-ratus tahun orang Eropah dan Amerika datang berdagang ke
Negara Asia dan Malay Archipelago, tiba-tiba dalam dunia globalisasi
dan digital kini, kita disuruh berlumba-lumba pulak pergi berdagang ke
US, Canada dan Mexico kerana mereka ekonomi besar. Mereka bukan
’emerging nation’ pun. Data bancian USA berkenaan penduduk dunia
menganggarkan penduduk bagi 3 negara ini ialah 501 million menjelang
2020. (Sumber: lnternational Data Base (IDB) -Census Bureau
lnternational Programs Center USA), berbanding separuh dari penduduk
Islam dunia yang tinggal di Asia Pacific dan Timur Tengah dijangka
mencapai 1.9 bilion orang pada tahun 2020 dan 2.2 billion menjelang
2030. Jadi pasaran mana lebih besar? Lainlah kalau ada agenda
tersembunyi untuk menyekat pertambahan penduduk ini dengan mewujudkan
peperangan demi peperangan tanpa henti sebagai satu kaedah ‘social
engineering’ untuk penghapusan etnik di Timur Tengah.
Kenaikan gaji
pekerja Malaysia yang sedikit dan tidak kompetitif berbanding harga
barang yang naik begitu cepat dan banyak, memungkinkan TPPA akan memberi
tekanan kepada kehidupan rakyat jelata dalam negara ini. Apatah lagi
dengan segala macam musibah yang berlaku sekarang, menjadikan golongan
pertengahan dan bawahan menggigil-gigil lemah lutut dan jantung
berdenyut sakit untuk meneruskan hidup. Kalau Tun Mahathir berjaya
mencipta ramai keluarga Melayu golongan pertengahan sepanjang 22 tahun
pemerintahannya, tidak hairan kalau sebaliknya DS Najib pula berjaya
meramaikan golongan Melayu di bawah paras kemiskinan dalam masa 7 tahun
pemerintahannya dan akan lebih ramai menjelang 2020.
Apalah makna
menjadi negara maju menjelang 2020 kalau rakyatnya mengemis di negara
sendiri atau diberi peluang sekadar dipinggiran, berniaga di tepi-tepi
bangunan tinggi menjual goreng pisang dan nasi lemak. Bukan semua rakyat
Malaysia adalah pedagang. Dengan kenaikan gaji yang sedikit, bayangkan
setiap rakyat menghambakan diri pada duit, bekerja tanpa henti, bukan
lagi membuat 2 kerja, malah 4-5 kerja sehari semata-mata untuk kais
pagi makan pagi.
Maaf saya katakan, wanita Malaysia walaupun ramai yang
profesional, tapi malang kerana bekerja terlalu keras setiap hari.
Pengalaman menetap di negara orang memberi pendedahan kepada saya bahawa
hidup ini bukanlah untuk duniawi dan bekerja semata-mata. Bayangkan
keindahan hidup beriadah atau menonton wayang dipantai dan taman
sekeluarga setiap hujung minggu atau kadang-kadang minum teh bersama
ahli parlimen yang berkunjung di rumah atau bercuti sekeluarga selama
sebulan di Eropah atau sekadar kunjung-mengunjungi rakan dan jiran
sekeluarga setiap petang sambil minum kopi, (bukannya suami lepak di
kedai mamak/berkaraoke dan isteri masak, jaga anak dan berkemas apabila
balik dari kerja selepas tersekat berjam-jam di jalanraya). Ya, mungkin
selepas ini kita kena ubah budaya dan cara hidup kita.
Dubai dan UAE yang mempunyai dasar langit terbuka untuk perdagangan,
memastikan setiap rakyatnya mempunyai rumah percuma (villa atau
apartment mewah), pekerjaan yang terjamin dengan gaji lumayan, hadiah
wang semasa berkahwin dan bantuan kewangan bagi setiap anak yang lahir.
Justeru, Dubai dan seluruh penduduk UAE tidak risau dengan kemaraan
kemasukan warga dunia dalam negaranya kerana ia tidak akan menjejaskan
kebajikan penduduk asalnya walaupun UAE adalah negara yang paling ramai
di dunia didiami penduduk asing (most diversified nation in the world)
dengan 212 negara di bumi ini, penduduknya tinggal dan bekerja di UAE.
Setiap urusan perdagangan memberi kelebihan kepada penduduk asal negara
berkenaan. Sedangkan rakyat Malaysia yg rata2 berpendidikan terpaksa
berdepan dengan provokasi2 pihak berwajib dan ahli politik supaya terus
bekerja, terus bertanding dengan masyarakat dunia untuk sesuap nasi,
berhadapan dengan kenaikan harga makanan dan perubatan yang tanpa
kawalan. Adakah taraf hidup akan bertambah baik atau merosot selepas
TPPA?
Sejak tahun 2008
hingga kini, ekonomi USA tidak dapat bangun dari kejatuhan yang menjunam
akibat ‘the great recession’/kemelesetan ekonomi yang lebih hebat dari
apa yang berlaku pada tahun 30an. Golongan pertengahan Amerika
terkapa-kapa tidak mempunyai pekerjaan dan terpaksa berhijrah keluar
negara terutamanya bekerja di Timur Tengah. Negara USA menjadi tempat
tinggal untuk orang yang berada dan kaya semata-mata. Dengan motto TPPA
“Leveling the playing field for American workers & American
businesses” dan maksud TPPA itu sendiri bermakna “The Trans-Pacific
Partnership (TPP) writes the rules for global trade—rules that will help
increase Made-in-America exports, grow the American economy, support
well-paying American jobs, and strengthen the American middle class”,
perlu ke kita berpolemik banyak lagi dan menutup mata atas kemungkinan
penindasan keringat rakyat dan eksploitasi terhadap khazanah negara yang
kerdil ini? Adakah telah dikaji kesan jangka panjang TPPA?
Saya menyeru kerajaan, biarlah kita sama-sama meletakkan
kepentingan rakyat di hadapan, dan mengkaji kertas lapuran TPPA dan
cost-benefits analysis TPPA dengan teliti dan sewajarnya, melihat
sejarah NAFTA dan WTO terhadap negara-negara berkenaan; serta membuat
analisis jangka panjang sebelum kerajaan mengambil keputusan untuk
menandatangani TPPA tersebut.
Ye, Malaysia negara kerdil, tidak boleh mencorak ekonomi
dan politik dunia, tetapi China dan Amerika sangat suka dengan kita,
‘The Golden Chersonese’ nama diberi untuk Tanah Melayu ini oleh Roman
dan Greek sejak abad ke 2, mungkin punya keistimewaan dan rahsia tersendiri.
Apakah masa depan rakyat ‘The Golden Chersonese’ ini selepas TPPA?
Mungkinlah kita akan menangis setiap hari dan bukan sekadar setiap tahun semasa PAU? dan terus-terusan menyanyi ……
“…..Indahnya bumi kita
Warisan berkurun lamanya
Hasil mengalir ke tangan yang lain
Kita kan merintih sendiri"
Warisan berkurun lamanya
Hasil mengalir ke tangan yang lain
Kita kan merintih sendiri"
MMD