UMNO tidak
dapat lari dari diresapi budaya 1Malaysia, satu projek ikonik Najib Razak.
Parti
Najib 1Malaysia tidak dilancarkan secara rasmi, tetapi Tun Dr Mahathir telah
pun mengisytiharkan bahawa UMNO kini adalah parti Najib dan kita tahu 1Malaysia
adalah sinonim dengan Najib. Justeru sesuailah UMNO sekarang diberi nama Parti
Najib 1Malaysia.
Selepas Malaysia dihamburkan dengan retorik
1Malaysia yang tidak difahami dan tidak dapat dihayati oleh masyarakat Bumiputera
sendiri, apatah lagi kaum lain; program 1Malaysia kini hanya tinggal nama
kerana ditolak oleh rakyat seluruhnya. Tidak ada lagi slogan 1Malaysia di
website-website kementerian dan lagu-lagu 1Malaysia di kaca TV.
Untuk pengetahuan, terdapat 8 nilai murni yang
cuba dibawa sebagai pemangkin kejayaan produk-produk 1Malaysia.
‘Meritokrasi’
merupakan salah satu nilai utama dalam 1Malaysia. Kerana itu pemilihan anggota kabinet
kerajaan juga dinilai dengan ‘meritokrasi’ yang tinggi seperti Ahmad Maslan
yang cemerlang dengan CGPA 3.85 dan Ahmad Bashah dipilih
menjawat jawatan Menteri Besar Kedah dengan kelulusan SRP, menggantikan DS
Mukhriz kerana tidak dapat menandingi kelelapan Bashah mentadbir kerajaan
berdasarkan ‘meritokrasi’ ala 1Malaysia.
‘Pendidikan’
juga adalah nilai penting dalam 1Malaysia, sebab itu dalam UMNO Parti
Najib 1Malaysia, mereka yang berpendidikan tinggi sukar mendapat tempat sebagai
Ketua Bahagian atau Ketua Cawangan. Kerana pentingnya ‘pendidikan’ dalam
1Malaysia lah maka Kerajaan menjimatkan perbelanjaan sebanyak RM240 juta
setahun selepas menarik semula tajaan biasiswa pelajar Malaysia ke luar negara!
Sebaliknya duit berkenaan boleh digunakan dalam negara untuk membeli-belah di
Jakel atau membeli pembesar UMNO Parti Najib 1Malaysia, untuk pemampanan slogan
‘cash is king’.
Satu lagi nilai 1Malaysia ialah ‘Integriti’.
Begitu banyak nilai ‘integriti’ diamalkan dalam kepimpinan kerajaan Najib sekarang.
Seperti contoh, tingginya nilai ‘integriti’ diamalkan dalam urusniaga 1MDB
sehingga berjaya mengumpul jumlah hutang sebanyak RM42 Bilion dengan hanya bermodal perniagaan sebanyak RM1 juta, tetapi urusniaga
melibatkan beberapa negara dan skandal hebat yang menjadi berita utama dunia. ‘Integriti’
dalam 1MDB rupanya adalah ‘rompakan’ besar-besaran 1Malaysia yang dilakukan
oleh kuncu-kuncu ‘berintegriti’ mengikut konsep GLOKAL yang diperkenalkan oleh
Najib melangkaui frasa 'think
global act local'!.
Satu lagi contoh amalan nilai ‘integriti’ 1Malaysia
boleh kita lihat pada MARA yang merupakan entiti gergasi untuk pemerkasaan perniagaan dan pendidikan
bumiputera dan telah berjaya menjadi entiti global apabila melakukan jual
beli hartanah di Australia dan melibatkan Polis
Persekutuan Australia (AFP). AFP melalui ‘Operasi Carambola’ menyiasat tentang
penipuan oleh rakyat Malaysia yang menggunakan hartanah di Australia bernilai
berbilion-bilion ringgit untuk pelaburan haram dan dijadikan rasuah di beberapa
negara di Asia. Ini termasuk MARA yang dikaitkan dengan pembelian pangsapuri di
Melbourne dengan harga RM65 juta sedangkan nilai pasaran sebenar hanya RM51.5
juta dengan wang perbezaan itu dikatakan diguna sebagai rasuah di tanah air.
Pengerusi MARA, Tan Sri Annuar Musa memberitahu pembelian hartanah di Melbourne
dengan harga yang melambung tinggi itu mendapat kelulusan Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Razak, pelopor projek 1Malaysia.
Pengerusi MARA memang seorang yang
sangat tinggi nilai ‘integriti’ dalam kepimpinannya kerana pernah dikaitkan
dengan perlesapan tabung Program Pembangunan Rakyat Termiskin ketika menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar,
sehingga UMNO mendapat jolokan "United Magician National
Organisation" ketika itu. Kini UMNO mendapat jolokan Parti Najib 1Malaysia
pula.
UMNO Parti
Najib 1Malaysia, mendapat sokongan amat kuat dari Ketua Bahagian. Ahli-ahli
UMNO di akar umbi tidak berani bersuara dan mungkin telah lupa asas perjuangan
mereka. Ahli UMNO yang mudah lupa perlu diingatkan kembali bahawa mereka pernah
merintih marah sebab diabaikan oleh Najib dalam peruntukan kewangan semasa dan
selepas PRU13. Najib lebih banyak memperuntukan wang untuk sekolah cina
berbanding sekolah agama dan surau. Ahli
UMNO perlu diingatkan kembali bahawa Najib adalah Ah Jib Gor yang berusaha
memenangi hati dan jiwa kaum cina dengan wang, sedangkan orang Melayulah yang
mengundi UMNO dan meletakkan Najib dan kuncu-kuncunya di tempat mereka
sekarang.
Pembesar
dan penyokong dalam kepimpinan Najib sering menyalahkan Melayu sebagai
"pengkhianat bangsa" atau "tidak bersyukur" apabila ramai pengundi
Melayu meninggalkan UMNO dan mengkritik kerajaan BN. Jadi, perlukah ahli UMNO
masih menyokong Najib? Ketika kos sara hidup semakin menekan dan taraf hidup rakyat
semakin merosot, buta hatikah ahli UMNO kerana masih mempertahankan Najib?
Ahli UMNO
perlu merasa marah kerana budaya dan kecemerlangan nilai murni parti keramat
ini telah dipengaruhi oleh nilai haprak 1Malaysia. Jangan dikhayalkan dengan
retorik 1Malaysia yang meletakkan nilai “Jika anda berjanji, tepati dan kotakanlah
janji itu…” tetapi tidak pernah dihayati oleh Najib yang banyak berjanji
kosong!
Tidak
malukah ahli UMNO kini digelar ahli UMNO Parti Najib 1Malaysia? Atau masih mahukah
mempertahankan kecemerlangan parti
keramat UMNO dan berjuang berlandaskan BERANI KERANA BENAR?
Sekiranya
tidak mahu terpalit dengan kebobrokan kepemimpinan UMNO Parti Najib 1Malaysia, anda
berpeluang berjuang di belakang pemimpin-pemimpin yang berpaksi kepada kebenaran
seperti Tun Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin, Tan Sri Sanusi, Dato Seri Mukhriz,
Dato Seri Shafie dan Dato Seri Khairuddin, di bawah platform Gabungan
Ketua-Ketua Cawangan Malaysia.
Keputusan
di tangan anda!